sakit.penat.mata.ini.waktu.itu

September 28, 2007

Hah. Tag ini telah lama aku simpan. Suefami yang beri. Dan aku sangat ingin makan nasi kerabu dan kuih akok yang paling sedap dibulan puasa ini. Boleh sesiapa tunjukkan dimana tempatnya ?

1. What’s bothering you right now?

hari Jumaat
kereta banyak
jalan sibuk
kerja masih banyak
nak balik cepat
nak menulis serba sedikit
lauk untuk berbuka
kereta masih tidak sehat
berfikir sebentar
jahanam punye proton!
jam 14.47 petang
hati tidak tenang
kau
ini malam sesi latihan berniaga
ade majlis berbuka sekali
rasa seperti tak sempat pergi
rumah bersepah lagi!
hish
siapa yang sibuk nak tau semua ni?
kuih akok pantai dalam
mengantuk
nasi kerabu dengan ikan goreng tepung bersama daging bakar
air tebu dan tepung pelita
gadis-gadis comel di Param
aiseh
aku mengantuk la!!

2. Describe your:

Wallet:
gaya lelaki metro masa kini
aku rasa

Wallpaper on PC:
ada gambar padang nan menghijau
ada awan sikit-sikit
dah

Background on Cellphone:
punya gambar orang pakai headphone
tampak funky
ada warna pelangi sikit-sikit
ntahlah

Jewellery worn daily:

Eyes :
betul-betul mengantuk sekarang ni
nampak kuyu je
selalu nampak kuyu juga
tapi tidak seperti hari ni
masuk ni dah 4 kali pergi basuh muka
menggeliat, menguap, terlelap
terlelap, menguap, menggeliat
mata aku penat

Life:
begitulah
hidup seorang lelaki biasa seperti aku ini

3. What are you/do you:

Doing this weekend:
pergi Seremban sama jorji punya family
jumpa kawan-kawan
pergi makan nasi beriani pak tam!

Wearing:
jeans dan juga sehelai baju T yang aku rasa tak lama lagi aku akan buang

Want:
hidup lebih lama lagi, dan menjadi kekasih kepada Cheryl Samad

Listening to:
micheal buble
dino
ride
dewa
lagu-lagu untuk berkugiran bising nanti

Smell like:
wangi senantiasa
kadang-kadang bau angin pagi
kadang-kadang bau manis
ada juga bau rokok kuat sangat
tapi biasanya, wangi sahaja.

4. Do you:

Believe in soulmate:
mungkin ada diluar sana
mana kau, hah?

Believe in Miracles:
hanya jika si-oh-sungguh-comelnya Cheryl Samad ingin menjadi kekasih aku!

Burn quickly in the Sun:
aku dah cukup gelap
matahari pun dah malas dah nak pancarkan habanya lebih-lebih pada aku

Who to tag?
ntah!
aku.dah.malas.dah!

Advertisements

Maaf.

Seminggu dua ini aku agak keberatan untuk menulis.

Jari jemari aku penatlah. Badan aku pun penat. Kepala otak jangan ceritalah.

Aku punya masa. Tetapi di pejabat agak kelam kabut sedikit.

Salah seorang pekerja di pejabat aku telah dibuang khidmat. Kerja-kerja aku dan rakan pejabat daripada hari pertama hingga ke hari ini ialah mengubah suai kerja yang sepatutnya telah lama siap. Seperti sekarang ini, aku diminta mengubah hasil-hasil kerja kami kembali, untuk ya-ampun-kesekian kalinya! Hari-hari dipejabat buat aku semakin hari semakin bosan dan penat dengan kerja. Aku alihkan kebosanan aku dengan melayari Internet. Aku cari gambar-gambar makanan, minuman enak, serta kuih muih di param-param serata negeri pada bulan puasa ini untuk mengubat mata aku yang penat.

Dirumah aku lebih suka tengok tv dan habiskan sisa masa dengan tidur. Setelah kenyang berbuka – semacam tiada hari esok untuk aku makan lagi. Param-param seperti sediakala, gagal. Kad merah. Keluar padang. Aku lebih suka melihat kelibat gadis-gadis yang oh-masih-seksi-di bulan puasa dan tak lupa juga gadis-gadis comel dicelah-celah ratusan orang ramai, daripada memandang makanan-makanan yang kebanyakannya senantiasa gagal apabila tiba puasa. Dasar meniaga setahun sekali. Sahaja ingin sibuk-sibuk berniaga itu ini. Dia pun hendak berniaga juga. Harga tidak perlu cerita, mak datuk mak nenek mahalnya. Rasanya pula – janganlah cuba dicerita kongsi, buat sakit hati. Mimpilah kalau semuanya sedap.

Dan, aku berkabung. Masih berkabung. Masih bersedih.

Aku berkabung untuk arwah adik Nurin Jazlin.

Aku berkabung untuk EPL.

Dan maaf, untuk kesekian kali.

Aku perlu sambung kerja lagi!

Minggu yang lepas sudah, aku ada diajukan beberapa soalan oleh rakan taulan yang rata-rata mempunyai persoalan yang sama mengenai cerita-cerita aku disini.

Soalan 1: “Eh, kenapa blog kau manjang emo je?” – Epol namanya. Jelas nampak ceria apabila aku sering dikaitkan sebagai abangnya!

Soalan 2: “Oi! Kau ni hisap ice ke? Kenapa entri asyik emo je lately?” – Bidan. Teman baik yang katanya, pandai berzanji dan pernah juga menang dalam pertandingan khutbah jumaat dizaman sekolah dahulu.

Soalan 3: “Dey! Apa ni? Luahan rasa hati ke?” – Anir. Juga teman lama yang cuba-cuba membaca cerita aku disini.

Soalan 4: “Hey, like your blog! Say, what are you doing this thursday night eh?” – Gadis comel entah siapa. Seperti biasa. Ini imaginasi aku. Watak yang seringkali muncul menganggu aku apabila aku menulis.

*Ambil nafas*

Aku tidak pandai bercerita politik. Minta ampun.

Aku juga kurang arif untuk bercerita mengenai masalah-masalah negara di seantero dunia. Sungguh kurang arif.

Aku tidak akan sama sekali mahu bercerita tentang artis-artis yang bukan-bukan di Malaysia. Semua aku senarai hitamkan. Kecuali mereka-mereka seperti, oh-sungguh-comel Cheryl Samad, ataupun Mizz Nina.

Aku juga tidak tahu bercerita mengenai sejarah Malaysia, kerana aku hampir gagal dalam matapelajaran sejarah untuk peperiksaan SPM yang lalu.

Sebentar. Sila masukkan sekali Deanna Yusof didalam senarai artis sebentar tadi.

Aku lebih suka mendiamkan diri dari bercerita mengenai alam sekitar, kesan pemanasan global, kepupusan haiwan, semangat patriotisma hanya tiba tatkala sambutan merdeka. Atau mengenai isu-isu remaja pongget, remaja rempit, remaja rosak akhlak, remaja-remaji, itu dan ini.

Pasal ekonomi? Tolonglah.

Aku juga tidak mampu memberi cerita-cerita nasihat berunsur keagamaan, kerana aku masih jauh. Masih merangkak mencari arah hala tuju ke jalanNya.

Jangan cuba-cuba tunggu aku bercerita tentang revolusi diri, peningkatan kendiri atau apa sahaja jenis cara untuk meningkatkan tahap keyakinan diri. Baik pergi minum kopi.

Dan, jangan bermimpi untuk lihat aku bercerita mengenai perkembangan terbaru dunia peragaan, fesyen-fesyen terkini remaja Jepun ataupun negara barat – yang selalunya dikaitkan dengan jenama yang aku sendiri tidak berupaya menyebutnya.

Akhirnya, aku juga tidak akan sama sekali membuang masa dengan bercerita tentang kisah-kisah yang tidak ada kaitan dengan diri aku dan mereka-mereka disekeliling aku.

*Tahan nafas*

Tidak dinafikan, hampir kesemua cerita aku memang berunsurkan emosi sedih yang kadang kala buat aku mual, jelek, dan bosan. Hinggakan kadangkala hendak juga aku ketawakan pada diri sendiri. Dan aku pasti, adalah mustahil untuk cerita-cerita aku ini akan menaikkan ghairah berahi sesiapa sahaja untuk diulang baca. Sekarang, mari aku tunjuk kenapa kebanyakan cerita aku selalu berkisar tentang emosi kelam kabut – sifat yang adakalanya kurang elok diceritakan kepada orang ramai yang rata-ratanya akan menjadi cerdik pandai apabila membuat andaian.

Sedia?

Genggam tetikus kamu dengan erat. Pastikan tetikus berfungsi. Kalau tidak tahu apa itu tetikus, teruskan bacaan. Buat-buat tahu sahaja. Pastikan juga mata anda tepat kearah penunjuk tetikus dihapan monitor. Ajukan arah penunjuk kepada tajuk blog aku iaitu, Aku.dah.malas.dah!

Jika anda perasan, penunjuk tetikus akan berubah daripada anak panah kepada bentuk tangan seperti sedang menunjuk. Jangan hairan. Jangan kaget dan jangan cuba-cuba buat terkejut.

Dan sekarang, sila baca perenggan dibawah tajuk blog tadi,
just.another.heartache.blog

Terjemahan, sesiapa?

*Hembus nafas*

Aku dijemput hadir untuk majlis keramaian makan malam oleh sebuah syarikat korporat-keparat, ini malam. Majlis yang disediakan untuk pelanggan-pelanggan mereka yang telah banyak menghabiskan duit syarikat dengan menggunakan servis mereka yang dikatakan berbaloi dengan jumlah yang dikeluarkan. Hah, tolonglah. Dengan kata lain, majlis ini diseparuh-taja secara lansung oleh bayaran ribuan ringgit yang telah kami belanjakan. Ada makan-makan. Ada ucapan-ucapan bodoh. Ada majlis cabutan bertuah. Dan punya malam tema iaitu, Merah. Hebat bukan? Dan sebahagian kami akan terus sahaja mengagumi hasrat murni syarikat terbabit yang bersusah payah menghabiskan duit itu kembali kepada kami.

“Kerana anda adalah keutamaan kami” – Eleh.

Ok. Itu tidak penting. Sebab duit yang telah habis beribu-ribu itu bukan duit aku. Yang penting, majikan suruh aku pergi. Mereka tidak dapat memenuhi jemputan itu atau mereka memang malas untuk melayan benda-benda mengarut seperti itu.

Baiklah. Aku cuba untuk pergi, atau ada bagusnya juga aku pergi. Boleh makan sepuas-puas hati. Tambah berat sikit lagi. Tetapi aku perlu beri pengesahan dengan segera. Aku mula isi borang dan dipertengahan jalan, aku letak kembali pena diatas meja. Sesuatu berjaya menganggu benak fikiran aku. Setelah habis mengisi nama aku, ada satu lagi nama yang perlu aku isi. Partner’s Name. Nama pasangan?

Puas aku berfikir, siapa yang patut aku bawa bersama.

Teman nombor 1: Aku jemput seorang gadis comel ini. Keberatan. Punya majlis keramaian anak buah, katanya. Baiklah. Tidak mengapa.

Teman nombor 2: Sahabat baik aku. Lelaki. Tapi katanya, kami boleh berlakon jadi teman sejenis. Bawa anaknya sekali. Boleh raih publisiti! Aduh!

Teman nombor 3: Seorang gadis yang telah aku berhubung dengan hanya melalui pesanan ringkas sms(!), berbulan lamanya. Ini cadangan teman nombor 2. Tetapi aku rasakan ia masih belum sesuai. Belum sesuai untuk semua. Dan belum sesuai untuk diceritakan disini juga. Hah.

Teman-teman lain: Entahlah! Aku rasa aku tak punya sesiapa lagi. Dan aku.dah.malas.dah! untuk berfikir lagi.

Jam menunjukkan pukul 5.30 petang, waktu yang paling sesuai untuk pergi minum petang dan terus pulang. Dan aku masih belum hantar borang pengesahan. Dengan kata lain, aku berjaya juga untuk tidak pergi. Dengan kata aku, pergilah jahanam!

Aku cuba mahu bercerita.

Aku cuba berkongsi kisah-kisah yang aku rasa mahu untuk dikongsi bersama. Buat kamu semua tersenyum. Mungkin ada juga yang buat kamu semua ketawa. Tetapi bukan gembira. Dan mungkin antaranya untuk kamu buat (atau memang suka buat) andaian dan penilaian yang bersifatkan membina ataupun mungkin bersifat menghina. Mungkin aku tidak akan ambil peduli dan untuk itu, seperti biasa – “Pergilah mati!!

Mungkin buat kamu tertanya-tanya, mungkin buat kamu sakit kepala. Siapa suruh baca, kan aku dah kata?

Mungkin buat kamu bengang atau marah (untuk yang ini, mungkin pasti akan terjadi pada si gadis comel itu, yang berkemungkinan besar terjumpa juga akhirnya akan blog ini). Aku suka kalau khayalannya begini – Lalu, terus dia menukar nombor telefon bimbitnya, membuang nama aku dari golongan-golongan sahabat jaringan sosial internetnya. Membakar cenderahati yang pernah aku beri. Membuang pesanan-pesanan ringkas sms aku yang lama, yang selalu dibacanya pada waktu kala dia rindu dan sunyi (senyum). Dan ini mungkin marah yang maha hebat – aku terima hantaran pos yang dibelakangnya berbunyi “SAYA BENCI AWAK!!” – didalamnya berisi cebisan-cebisan kertas kecil. Yang basah, yang sudah terkoyak dicarik. Yang renyuk dan yang telah dibakar hangus. Hitam. Mungkin sebelum itu telah dipijak-pijak, diconteng-conteng, dipulas hempas. Yang tinggal hanya kertas-kertas kecil yang tidak berdosa, berisi beberapa abjad yang apabila dibaca, terasa seperti anak kecil belajar mengeja. Dinding dan lantai jadi saksi. Rakan-rakan sepengajian jadi saksi. Ditengah-tengahnya pula, punya titisan-titisan (atau lebih) cecair likat, mungkin air liur. Dan mungkin disertakan juga dengan sedikit najis-najis ringan. “Biar kau rasakan!” – katanya.

Dan semasa proses itu, berlakulah teriak kuat sorakan maki hamun nama aku.

Oh, buku aku yang dipinjam dulu rupanya. Terima kasih ya!

Aku tidak menyangka aku puas setelah aku tulis ini semua. Mungkin buat aku tersenyum apabila aku masih punya himpunan tulisan ini. 10 tahun lagi. Dibaca dikala aku tua. Setelah punya segala. Setelah semua cerita ini aku hampir lupa. Atau mungkin buat aku malu, buat aku benci, dan buat aku buang semua ini – dan minta maaf pada semua orang yang telah membacanya.

Tetapi itu bukan mesejnya.
Mesejnya, aku ingin bercerita.
Noktah.

Tapi aku tak punya banyak masa!