sudah lama aku tak menulis.
kenapa?

entah.
aku malas untuk bercerita.
terlalu panjang,
terlalu menyakitkan,
terlalu menampakkan kebodohan,
terlalu bahalol,
terlalu badigol,
terlalu betul,
terlalu “ha..itulah, kan kitorang dah cakap..”
terlalu buat aku rasa seperti separuh mati,
terlalu buat aku rasa benci pada diri sendiri.

mungkin hidup selalu diperolokkan oleh jelmaan-jelmaan kebahagian yang terang-terangan hanya menjelma membogelkan diri didepan mata.
mengkelabukan mata hati.

habis dikelambukan pemikiran logika.
habis ditutup sajikan semua.
padan dengan muka!

kekurangan pada aku itu aku akui.
maafkan aku untuk kesekian kali.

memang padan.
memang sesuai.
tapi, sampai bila harus padan dan sesuai?
sampai pagi?
sampai semua orang puas hati?
sampai kiamat datang membakar diri?

pergilah mati.
aku maseh punya banyak episod kehidupan untuk diharungi.

kembali.disini

November 11, 2008

wahai
semua

‘bidadari mimpi’,

aku
kembali.

lama
menanti
?
tapi
aku tak
janji
.

berapa
lama
lagi
akan
aku
mula
langkah
ini.

mungkin sehari dua ini.

mungkin satu minggu lagi.

atau mungkin
hingga
aku
sudah
berani
.

berani

hadapi semua
ini.

siapa yang
peduli
kalau
ia
sedekad
lamanya
lagi.

suatu hari akan tiba

nanti.

Minggu yang lepas sudah, aku ada diajukan beberapa soalan oleh rakan taulan yang rata-rata mempunyai persoalan yang sama mengenai cerita-cerita aku disini.

Soalan 1: “Eh, kenapa blog kau manjang emo je?” – Epol namanya. Jelas nampak ceria apabila aku sering dikaitkan sebagai abangnya!

Soalan 2: “Oi! Kau ni hisap ice ke? Kenapa entri asyik emo je lately?” – Bidan. Teman baik yang katanya, pandai berzanji dan pernah juga menang dalam pertandingan khutbah jumaat dizaman sekolah dahulu.

Soalan 3: “Dey! Apa ni? Luahan rasa hati ke?” – Anir. Juga teman lama yang cuba-cuba membaca cerita aku disini.

Soalan 4: “Hey, like your blog! Say, what are you doing this thursday night eh?” – Gadis comel entah siapa. Seperti biasa. Ini imaginasi aku. Watak yang seringkali muncul menganggu aku apabila aku menulis.

*Ambil nafas*

Aku tidak pandai bercerita politik. Minta ampun.

Aku juga kurang arif untuk bercerita mengenai masalah-masalah negara di seantero dunia. Sungguh kurang arif.

Aku tidak akan sama sekali mahu bercerita tentang artis-artis yang bukan-bukan di Malaysia. Semua aku senarai hitamkan. Kecuali mereka-mereka seperti, oh-sungguh-comel Cheryl Samad, ataupun Mizz Nina.

Aku juga tidak tahu bercerita mengenai sejarah Malaysia, kerana aku hampir gagal dalam matapelajaran sejarah untuk peperiksaan SPM yang lalu.

Sebentar. Sila masukkan sekali Deanna Yusof didalam senarai artis sebentar tadi.

Aku lebih suka mendiamkan diri dari bercerita mengenai alam sekitar, kesan pemanasan global, kepupusan haiwan, semangat patriotisma hanya tiba tatkala sambutan merdeka. Atau mengenai isu-isu remaja pongget, remaja rempit, remaja rosak akhlak, remaja-remaji, itu dan ini.

Pasal ekonomi? Tolonglah.

Aku juga tidak mampu memberi cerita-cerita nasihat berunsur keagamaan, kerana aku masih jauh. Masih merangkak mencari arah hala tuju ke jalanNya.

Jangan cuba-cuba tunggu aku bercerita tentang revolusi diri, peningkatan kendiri atau apa sahaja jenis cara untuk meningkatkan tahap keyakinan diri. Baik pergi minum kopi.

Dan, jangan bermimpi untuk lihat aku bercerita mengenai perkembangan terbaru dunia peragaan, fesyen-fesyen terkini remaja Jepun ataupun negara barat – yang selalunya dikaitkan dengan jenama yang aku sendiri tidak berupaya menyebutnya.

Akhirnya, aku juga tidak akan sama sekali membuang masa dengan bercerita tentang kisah-kisah yang tidak ada kaitan dengan diri aku dan mereka-mereka disekeliling aku.

*Tahan nafas*

Tidak dinafikan, hampir kesemua cerita aku memang berunsurkan emosi sedih yang kadang kala buat aku mual, jelek, dan bosan. Hinggakan kadangkala hendak juga aku ketawakan pada diri sendiri. Dan aku pasti, adalah mustahil untuk cerita-cerita aku ini akan menaikkan ghairah berahi sesiapa sahaja untuk diulang baca. Sekarang, mari aku tunjuk kenapa kebanyakan cerita aku selalu berkisar tentang emosi kelam kabut – sifat yang adakalanya kurang elok diceritakan kepada orang ramai yang rata-ratanya akan menjadi cerdik pandai apabila membuat andaian.

Sedia?

Genggam tetikus kamu dengan erat. Pastikan tetikus berfungsi. Kalau tidak tahu apa itu tetikus, teruskan bacaan. Buat-buat tahu sahaja. Pastikan juga mata anda tepat kearah penunjuk tetikus dihapan monitor. Ajukan arah penunjuk kepada tajuk blog aku iaitu, Aku.dah.malas.dah!

Jika anda perasan, penunjuk tetikus akan berubah daripada anak panah kepada bentuk tangan seperti sedang menunjuk. Jangan hairan. Jangan kaget dan jangan cuba-cuba buat terkejut.

Dan sekarang, sila baca perenggan dibawah tajuk blog tadi,
just.another.heartache.blog

Terjemahan, sesiapa?

*Hembus nafas*

Aku cuba mahu bercerita.

Aku cuba berkongsi kisah-kisah yang aku rasa mahu untuk dikongsi bersama. Buat kamu semua tersenyum. Mungkin ada juga yang buat kamu semua ketawa. Tetapi bukan gembira. Dan mungkin antaranya untuk kamu buat (atau memang suka buat) andaian dan penilaian yang bersifatkan membina ataupun mungkin bersifat menghina. Mungkin aku tidak akan ambil peduli dan untuk itu, seperti biasa – “Pergilah mati!!

Mungkin buat kamu tertanya-tanya, mungkin buat kamu sakit kepala. Siapa suruh baca, kan aku dah kata?

Mungkin buat kamu bengang atau marah (untuk yang ini, mungkin pasti akan terjadi pada si gadis comel itu, yang berkemungkinan besar terjumpa juga akhirnya akan blog ini). Aku suka kalau khayalannya begini – Lalu, terus dia menukar nombor telefon bimbitnya, membuang nama aku dari golongan-golongan sahabat jaringan sosial internetnya. Membakar cenderahati yang pernah aku beri. Membuang pesanan-pesanan ringkas sms aku yang lama, yang selalu dibacanya pada waktu kala dia rindu dan sunyi (senyum). Dan ini mungkin marah yang maha hebat – aku terima hantaran pos yang dibelakangnya berbunyi “SAYA BENCI AWAK!!” – didalamnya berisi cebisan-cebisan kertas kecil. Yang basah, yang sudah terkoyak dicarik. Yang renyuk dan yang telah dibakar hangus. Hitam. Mungkin sebelum itu telah dipijak-pijak, diconteng-conteng, dipulas hempas. Yang tinggal hanya kertas-kertas kecil yang tidak berdosa, berisi beberapa abjad yang apabila dibaca, terasa seperti anak kecil belajar mengeja. Dinding dan lantai jadi saksi. Rakan-rakan sepengajian jadi saksi. Ditengah-tengahnya pula, punya titisan-titisan (atau lebih) cecair likat, mungkin air liur. Dan mungkin disertakan juga dengan sedikit najis-najis ringan. “Biar kau rasakan!” – katanya.

Dan semasa proses itu, berlakulah teriak kuat sorakan maki hamun nama aku.

Oh, buku aku yang dipinjam dulu rupanya. Terima kasih ya!

Aku tidak menyangka aku puas setelah aku tulis ini semua. Mungkin buat aku tersenyum apabila aku masih punya himpunan tulisan ini. 10 tahun lagi. Dibaca dikala aku tua. Setelah punya segala. Setelah semua cerita ini aku hampir lupa. Atau mungkin buat aku malu, buat aku benci, dan buat aku buang semua ini – dan minta maaf pada semua orang yang telah membacanya.

Tetapi itu bukan mesejnya.
Mesejnya, aku ingin bercerita.
Noktah.

Tapi aku tak punya banyak masa!