Minggu yang lepas sudah, aku ada diajukan beberapa soalan oleh rakan taulan yang rata-rata mempunyai persoalan yang sama mengenai cerita-cerita aku disini.

Soalan 1: “Eh, kenapa blog kau manjang emo je?” – Epol namanya. Jelas nampak ceria apabila aku sering dikaitkan sebagai abangnya!

Soalan 2: “Oi! Kau ni hisap ice ke? Kenapa entri asyik emo je lately?” – Bidan. Teman baik yang katanya, pandai berzanji dan pernah juga menang dalam pertandingan khutbah jumaat dizaman sekolah dahulu.

Soalan 3: “Dey! Apa ni? Luahan rasa hati ke?” – Anir. Juga teman lama yang cuba-cuba membaca cerita aku disini.

Soalan 4: “Hey, like your blog! Say, what are you doing this thursday night eh?” – Gadis comel entah siapa. Seperti biasa. Ini imaginasi aku. Watak yang seringkali muncul menganggu aku apabila aku menulis.

*Ambil nafas*

Aku tidak pandai bercerita politik. Minta ampun.

Aku juga kurang arif untuk bercerita mengenai masalah-masalah negara di seantero dunia. Sungguh kurang arif.

Aku tidak akan sama sekali mahu bercerita tentang artis-artis yang bukan-bukan di Malaysia. Semua aku senarai hitamkan. Kecuali mereka-mereka seperti, oh-sungguh-comel Cheryl Samad, ataupun Mizz Nina.

Aku juga tidak tahu bercerita mengenai sejarah Malaysia, kerana aku hampir gagal dalam matapelajaran sejarah untuk peperiksaan SPM yang lalu.

Sebentar. Sila masukkan sekali Deanna Yusof didalam senarai artis sebentar tadi.

Aku lebih suka mendiamkan diri dari bercerita mengenai alam sekitar, kesan pemanasan global, kepupusan haiwan, semangat patriotisma hanya tiba tatkala sambutan merdeka. Atau mengenai isu-isu remaja pongget, remaja rempit, remaja rosak akhlak, remaja-remaji, itu dan ini.

Pasal ekonomi? Tolonglah.

Aku juga tidak mampu memberi cerita-cerita nasihat berunsur keagamaan, kerana aku masih jauh. Masih merangkak mencari arah hala tuju ke jalanNya.

Jangan cuba-cuba tunggu aku bercerita tentang revolusi diri, peningkatan kendiri atau apa sahaja jenis cara untuk meningkatkan tahap keyakinan diri. Baik pergi minum kopi.

Dan, jangan bermimpi untuk lihat aku bercerita mengenai perkembangan terbaru dunia peragaan, fesyen-fesyen terkini remaja Jepun ataupun negara barat – yang selalunya dikaitkan dengan jenama yang aku sendiri tidak berupaya menyebutnya.

Akhirnya, aku juga tidak akan sama sekali membuang masa dengan bercerita tentang kisah-kisah yang tidak ada kaitan dengan diri aku dan mereka-mereka disekeliling aku.

*Tahan nafas*

Tidak dinafikan, hampir kesemua cerita aku memang berunsurkan emosi sedih yang kadang kala buat aku mual, jelek, dan bosan. Hinggakan kadangkala hendak juga aku ketawakan pada diri sendiri. Dan aku pasti, adalah mustahil untuk cerita-cerita aku ini akan menaikkan ghairah berahi sesiapa sahaja untuk diulang baca. Sekarang, mari aku tunjuk kenapa kebanyakan cerita aku selalu berkisar tentang emosi kelam kabut – sifat yang adakalanya kurang elok diceritakan kepada orang ramai yang rata-ratanya akan menjadi cerdik pandai apabila membuat andaian.

Sedia?

Genggam tetikus kamu dengan erat. Pastikan tetikus berfungsi. Kalau tidak tahu apa itu tetikus, teruskan bacaan. Buat-buat tahu sahaja. Pastikan juga mata anda tepat kearah penunjuk tetikus dihapan monitor. Ajukan arah penunjuk kepada tajuk blog aku iaitu, Aku.dah.malas.dah!

Jika anda perasan, penunjuk tetikus akan berubah daripada anak panah kepada bentuk tangan seperti sedang menunjuk. Jangan hairan. Jangan kaget dan jangan cuba-cuba buat terkejut.

Dan sekarang, sila baca perenggan dibawah tajuk blog tadi,
just.another.heartache.blog

Terjemahan, sesiapa?

*Hembus nafas*

Advertisements

Aku dijemput hadir untuk majlis keramaian makan malam oleh sebuah syarikat korporat-keparat, ini malam. Majlis yang disediakan untuk pelanggan-pelanggan mereka yang telah banyak menghabiskan duit syarikat dengan menggunakan servis mereka yang dikatakan berbaloi dengan jumlah yang dikeluarkan. Hah, tolonglah. Dengan kata lain, majlis ini diseparuh-taja secara lansung oleh bayaran ribuan ringgit yang telah kami belanjakan. Ada makan-makan. Ada ucapan-ucapan bodoh. Ada majlis cabutan bertuah. Dan punya malam tema iaitu, Merah. Hebat bukan? Dan sebahagian kami akan terus sahaja mengagumi hasrat murni syarikat terbabit yang bersusah payah menghabiskan duit itu kembali kepada kami.

“Kerana anda adalah keutamaan kami” – Eleh.

Ok. Itu tidak penting. Sebab duit yang telah habis beribu-ribu itu bukan duit aku. Yang penting, majikan suruh aku pergi. Mereka tidak dapat memenuhi jemputan itu atau mereka memang malas untuk melayan benda-benda mengarut seperti itu.

Baiklah. Aku cuba untuk pergi, atau ada bagusnya juga aku pergi. Boleh makan sepuas-puas hati. Tambah berat sikit lagi. Tetapi aku perlu beri pengesahan dengan segera. Aku mula isi borang dan dipertengahan jalan, aku letak kembali pena diatas meja. Sesuatu berjaya menganggu benak fikiran aku. Setelah habis mengisi nama aku, ada satu lagi nama yang perlu aku isi. Partner’s Name. Nama pasangan?

Puas aku berfikir, siapa yang patut aku bawa bersama.

Teman nombor 1: Aku jemput seorang gadis comel ini. Keberatan. Punya majlis keramaian anak buah, katanya. Baiklah. Tidak mengapa.

Teman nombor 2: Sahabat baik aku. Lelaki. Tapi katanya, kami boleh berlakon jadi teman sejenis. Bawa anaknya sekali. Boleh raih publisiti! Aduh!

Teman nombor 3: Seorang gadis yang telah aku berhubung dengan hanya melalui pesanan ringkas sms(!), berbulan lamanya. Ini cadangan teman nombor 2. Tetapi aku rasakan ia masih belum sesuai. Belum sesuai untuk semua. Dan belum sesuai untuk diceritakan disini juga. Hah.

Teman-teman lain: Entahlah! Aku rasa aku tak punya sesiapa lagi. Dan aku.dah.malas.dah! untuk berfikir lagi.

Jam menunjukkan pukul 5.30 petang, waktu yang paling sesuai untuk pergi minum petang dan terus pulang. Dan aku masih belum hantar borang pengesahan. Dengan kata lain, aku berjaya juga untuk tidak pergi. Dengan kata aku, pergilah jahanam!

Aku cuba mahu bercerita.

Aku cuba berkongsi kisah-kisah yang aku rasa mahu untuk dikongsi bersama. Buat kamu semua tersenyum. Mungkin ada juga yang buat kamu semua ketawa. Tetapi bukan gembira. Dan mungkin antaranya untuk kamu buat (atau memang suka buat) andaian dan penilaian yang bersifatkan membina ataupun mungkin bersifat menghina. Mungkin aku tidak akan ambil peduli dan untuk itu, seperti biasa – “Pergilah mati!!

Mungkin buat kamu tertanya-tanya, mungkin buat kamu sakit kepala. Siapa suruh baca, kan aku dah kata?

Mungkin buat kamu bengang atau marah (untuk yang ini, mungkin pasti akan terjadi pada si gadis comel itu, yang berkemungkinan besar terjumpa juga akhirnya akan blog ini). Aku suka kalau khayalannya begini – Lalu, terus dia menukar nombor telefon bimbitnya, membuang nama aku dari golongan-golongan sahabat jaringan sosial internetnya. Membakar cenderahati yang pernah aku beri. Membuang pesanan-pesanan ringkas sms aku yang lama, yang selalu dibacanya pada waktu kala dia rindu dan sunyi (senyum). Dan ini mungkin marah yang maha hebat – aku terima hantaran pos yang dibelakangnya berbunyi “SAYA BENCI AWAK!!” – didalamnya berisi cebisan-cebisan kertas kecil. Yang basah, yang sudah terkoyak dicarik. Yang renyuk dan yang telah dibakar hangus. Hitam. Mungkin sebelum itu telah dipijak-pijak, diconteng-conteng, dipulas hempas. Yang tinggal hanya kertas-kertas kecil yang tidak berdosa, berisi beberapa abjad yang apabila dibaca, terasa seperti anak kecil belajar mengeja. Dinding dan lantai jadi saksi. Rakan-rakan sepengajian jadi saksi. Ditengah-tengahnya pula, punya titisan-titisan (atau lebih) cecair likat, mungkin air liur. Dan mungkin disertakan juga dengan sedikit najis-najis ringan. “Biar kau rasakan!” – katanya.

Dan semasa proses itu, berlakulah teriak kuat sorakan maki hamun nama aku.

Oh, buku aku yang dipinjam dulu rupanya. Terima kasih ya!

Aku tidak menyangka aku puas setelah aku tulis ini semua. Mungkin buat aku tersenyum apabila aku masih punya himpunan tulisan ini. 10 tahun lagi. Dibaca dikala aku tua. Setelah punya segala. Setelah semua cerita ini aku hampir lupa. Atau mungkin buat aku malu, buat aku benci, dan buat aku buang semua ini – dan minta maaf pada semua orang yang telah membacanya.

Tetapi itu bukan mesejnya.
Mesejnya, aku ingin bercerita.
Noktah.

Tapi aku tak punya banyak masa!

Kalau.dah.penat.sangat

August 28, 2007

Di ofis (hari ini).
Meja berselerak. Kertas kerja sana sini. 2 kotak rokok Winston Merah 14 batang, kosong. Botol air mineral juga, kosong. Nota kecil temujanji yang aku lupa untuk pergi. Surat khabar THE SUN, 5 July 2007, masih belum dibaca. Cd-cd kosong, ada juga yang telah diguna pakai. Aku pun tak tahu yang mana satu. Harus diperiksa satu persatu. Pergilah jahanam. Ada seorang perempuan kat ofis ni cakap nak melenting aje. Kasi bingit satu ofis. Mungkin sebab gaji dia besar agaknya. Mulut nak laser. Bahasa nak puaka. Hidupkan komputer, lembab gila. Mata terus pedih bila tengok lama-lama. Aku pun dah lupa benda yang harus dibuat. Dirumah tadi macam ingat. Sampai ofis terus poison. Bank pula telefon, “En. ha.mije.san, kami masih belum terima bayaran kereta untuk bulan ini”. Suara macam comel, tapi cakap macam aku ni pekak. Terus buat aku benci. Pegilah jahanam. “Nanti hujung bulan saya bayarlah!”. Saja ingin bagi aku naik angin. Satu tin air 100plus. Tuang kedalam mulut, sekadar basahkan lidah! Pemetik api ada 2, rokok sebatang pun tak ada. Fail menimbun, mengalahkan CEO. Buku-buku rujukanlah, buku notalah. Kertas conteng pun ada. Bila dilihat kembali, haram aku tak ingat semuanya. Tak lupa juga bil telefon ofis diatas meja. Pengarah yang beri, semalam sebelum pulang. Suruh lihat dan tanda mana-mana panggilan personal yang telah dibuat. Bil melambung katanya. Aiseh, nak kena potong gaji ke?

Dirumah (sebentar lagi).
Maha sepah. Debu sana sini. Baju yang dibasuh semalam masih didalam mesin basuh. Aku lupa lagi. Bil elektrik dan bil air diatas meja. Masih belum berbayar. Astro baru tertangguh sebulan, sudah kena caj lewat bayaran. Kepala hotak dia lah. Surat ntah siapa diatas meja. Bermacam-macam nama. Tuan rumah ada, penyewa lama pun ada. Aku punya, tiada. Permaidani penuh dengan debu, dengan lebihan-lebihan benang yang terkeluar. Buruk sangat rupanya. Habuk rokok merata-rata. Hish. Masuk bilik. Rupa bantal dan alas tilam semacam sang beruang yang baru lepas tidur. Kain baju yang kering, berkeliaran diatasnya. Belum dilipat. Masuk hari ini sudah 3 hari. Lantai terasa melekit bila berjalan. Pokok didalam bilik air pun nampak penat. Layu aje. Aku lupa siram ke?

Dalam kepala otak (daripada tadi).
Cuba juga buat kira-kira. Tapi tak berjaya.
Terus dia kata –

Aku dah malas dah!!

epilog.siri.i.ii.iii.&.iv

August 23, 2007

i. Untuk lelaki itu (kau yang buat aku marah padamu)

kau memang menyakitkan hati aku
maha sakit rasanya
kau berjaya buat aku kusut untuk kesekian kalinya
dan
kau berjaya buat aku ungkit kisah lama
aku masih tidak faham, atau mungkin ada baiknya untuk aku tidak perlu faham – mengapa ia terjadi
mungkin kau kusut, tetapi ini bukan caranya
mungkin kau berserabut, tapi ini bukan penyudahnya
mungkin kau sakit hati
tapi hendak saja aku kata “Pergila mati!!

dengar sini (aku dah marah ni!)
pada waktu itu
dahulu itu
kau tahu tak betapa sakitnya hati aku bila berhadapan dengan
manusia-manusia yang bodoh percakapannya
singkat otaknya
pendek akalnya
bercerita tentang kau
bercerita tentang kami semua
kau tahu tak
betapa sakitnya hati aku mendengar cerca hamun yang tidak kira masa
cerita yang ku anggap karut semuanya
hanya untuk lihat wanita yang kau puja itu tersenyum
dibawa pergi
kau tau tak betapa peritnya untuk aku telan semua itu
aku perlahankan denyut marah maha hebat itu
supaya aku bisa tenang hadapi semua itu
supaya aku bisa senyum hadapi semua itu
kau tau tak
mungkin kau tidak pernah tahu
(salah tu) memang kau tidak pernah ingin ambil tahu
tidak pernah ambil tahu
kami tinggalkan sementara kasih sayang manusia lain kerana kau
kami telan dan kami pejam
biarkan saja
harap esok kembali reda

dan sekarang habis kau buang semuanya
penat aku
sakit akal aku. perit hati aku. pedih mata aku
menggigil aku menaip ini semua
ingin saja aku sumpah seranah sepak terajang
ingin saja aku maki mereka semua kembali

kerana aku tahu kau sedang ketawa

berdosakah aku
biarkan
biar aku tanggung dosa
biar aku tanggung semuanya
pegilah jahanam
pegilah mati
pergilah mampus cilaka pukimak sundal babi

ya
aku masih belum puas hati
dan mungkin ada baiknya juga setelah kau pergi

ii. Untuk wanita itu (aku tetap sayangkan mu)

tiada yang menyakitkan hati kecil aku jika mendengar kau menangis
tiada yang menaikkan amarah aku apabila mendengar engkau merintih
tiada apa yang meresahkan jiwa aku jika mendengar engkau tersisih
aku kagum
aku amat kagum
kau masih boleh berdiri setelah sekian lama
kau masih boleh senyum tertawa dihadapan mereka
kita pernah harung bersama
kau pula hampir hilang segalanya
tapi kau tak pernah putus asa
air itu tidak pernah kering dari mata
kau cuba selindung kesedihanmu
kau cuba tenangkan hatiku
kau cuba hiburkan hatimu
tak mengapa
buangkanlah sedih itu
buangkanlah memori itu ya
tak mengapa
biarkan sahaja lelaki itu pergi
biarkan saja lelaki itu berambus dari sini
dari kita
kerana kau punya cinta
yang maha hebat dari segala
yang aku pasti si lelaki itu takkan jumpa
kerana kau punya aku dan yang lain
yang cinta tak pernah usang walaupun untuk semusim
kerana kau punya cinta aku yang takkan padam
cinta aku yang takkan hilang

iii. Untuk nemoku (kau masih bidadari comelku)

maafkan aku
untuk kertelanjuran aku membawamu pada hari itu
aku lalai
aku mamai
tak sangka begitu padahnya
remuk hatiku melihat kau begitu
betul
aku tak tipu
sakit sungguh hati aku
puas aku menjaga mu seperti sang puteri
melihatkan dirimu remuk dibelakang bontot lori
dipagi hari
maafkan aku ya
lain kali aku tak buat lagi
aku akan hati-hati

iv. Jangan ditanya mengapa

2-3 hari ni aku agak kusut. Kusut dengan kerja. Kusut dengan diri sendiri. Masih kusut dengan kau (!). Ya, engkau wahai sigadis comel. Kusut dengan perutku yang makin bulat membesar. Aku pelik. Aku semakin berselera makan sejak akhir-akhir ini. Kemarahan aku disudahi dengan hidangan tengahari yang lazat tak terkata. Aku tenang setelah perutku kenyang. (Ulang: tenang setelah perutku kenyang).

Aku kusut yang maha hebat. Buat aku pening lagi. Buat aku berfikir lagi. Mungkin semua ini memang telah dijanji. Tak perlu aku persoalkan lagi. Aku cuba tenangkan diri, seperti biasa. Sebagaimana aku mampu harungi dengan tenang untuk yang sebelum-sebelum ini. Aku tak punya kuasa untuk mengubahnya kembali. Sama juga bagi situasi ini.

Kusut ke-tama, kereta aku melanggar bontot lori. Sekelip mata. Hinggakan aku masih tak mampu mengingati kembali bagaimana ia terjadi. Hingga ke hari ini! Aduh!

Kusut ke-dua, duit aku habis lagi. Aku dah mula menyimpan saki baki gaji sebagai wang simpanan untuk beberapa bulan sebelum ini. Habis semuanya aku guna untuk mengubah suai wajah keretaku agar kembali berseri. Tidak mengapa aku fikir, semuanya kerana kecuaian aku sendiri. Sesuai dengan muka aku.

Dan kusut yang ke-tiga, kusut yang maha hebat dari kedua-dua kusut yang diceritakan sebentar tadi. Tetapi aku rasa, mungkin sudah cukup dengan epilog diawal entri ini. Nanti aku sakit hati lagi. Nanti aku marah lagi.

Aku rasa aku perlu bernafas sebentar.

Oh ya, selamat hari lahir untuk wanita itu. Aku sayang akan kamu!!

Pada waktu ini
aku amat rindu pada –
ayahku yang telah pergi
adikku yang telah pergi
datuk dan nenekku yang telah pergi
saudara mara
rakan-rakan yang telah pergi

Pada waktu begini
aku rindu pada –
rakan sekolah yang telah terpisah
pekan kecil diwaktu silam
tali air dan sungai – mandi telanjang menyelam
bermain daun tepuk
tudung botol dan konda kondi
teriak ibu memanggil pulang
balik disebat
esok bermain lagi

Oh ya
aku rindu juga pada ibu dan adik-adik dikampung
diwaktu begini

Pada waktu begini
aku rindu pada –
ketukan pintu si tuan rumah dipagi hari meminta sewa
nasi lemak Arip di Paris bersama telur separuh masak dan vade-nya
atau
beramai-ramai menuju ke Railway untuk mee kari aunty
ke Sunshine untuk sup kambingnya
Nasi beriani Pak Tam tiba puasa
ah..banyak lagi tempatnya!
berkugiran bising bersama teman-teman
berborak dari siang hinggalah ke malam
tak pernah padam
rindu pada Terminal One
untuk aku buang masa
berikan aku 5 minit sahaja!
walaupun loya
walaupun bosan
walaupun terasa hendak bertumbuk dengan penghuninya
tuan kedainya
walaupun dipenuhi dengan gadis-gadis yang kurang comelnya
Rindu pada
Seremban!

Tapi
pada saat ini
aku tau
yang kau dihujung sana tu
rindukan aku
Kan?

Eleh.

antara.ketagih.&.menagih

August 13, 2007

Aku.dah.malas.dah!

Aku gemar menghantar pesanan ringkas sms.

Aku suka bermain kata-kata apabila menulis pesanan ringkas sms. Sudah menjadi kebiasaan untuk aku menggunakan satu-satunya teknologi yang masih mesra pengguna, tak lain dan tak bukan, SMS! Jangankan 3G, nak guna kamera telefon pun aku tak peduli.

Teriak 1: “Kau ni, hari-hari hantar sms. Kenapa tak call aje?” – eh, suka hati akulah.

Teriak 2: “Kau ni, kejap2 flip telefon hantar message. Lepas tu tutup, lepas tu flip balik. Rosak telefon tu nanti baru padan muka kau!” – nasihat yang paling aku suka.

Aku suka menghantar sms sebab aku punya ide-ide, ehem.. salah tu. Aku punya imaginasi yang luar biasa bila berkarya dalam bentuk penulisan sms, terutama sekali (dan untuk kesekian kalinya!) kepada gadis-gadis yang comel. Semacam menulis puisi pendek. Ringkas. Cantik.

Biasanya apabila aku telah dirasuk oleh sindrom sms, dirumuskan bahawa aku akan menjadi begini:

(Telefonku dipegang erat + (Membaca balik message dioutbox – pastikan ayatku tadi disusun cantik)) * Debaran menunggu jawapan balas = Tersenyum sendiri.

Disebabkan ketagihan sms aku, telefon bimbit aku telah mengalami sedikit ganguan mental akibat desakan jari-jemariku yang laju menekan butang-butang abjadnya. Kerana, seperti biasa aku akan pastikan kau mendapat jawapan balas kurang daripada 1 minit! Itu janji aku. Masakan sanggup untuk aku biarkan kau menunggu dengan lebih lama?

Lalu tersimpanlah karya-karya sms yang pernah dihantar dan diterima balas, didalamnya. Dan bergemalah sorakan-hilai-ketawa teman-teman yang berteriak nasihat, konon-kononnya.

Setelah sebulan dibaik pulih, aku berupaya kembali menggunakan keistimewaan aku – sms! Tapi aku dah tak punya sesiapa untuk ber-sms. Tiba-tiba. Kau hilang. Tiada balas. Berhari lamanya!

Jari-jemari aku resah, kau tau tak?!

Uh. Aku ketagih juga untuk menghantar sms padamu, wahai gadis yang comel.

“Awak. Buku yang awak pinjam daripada saya dulu, boleh dipulangkan kembali tak?” – terjemahan ringkas, sms terakhir aku.

Sumpah!

Nota Penting: Tiada jawapan balas hingga ke hari ini untuk sms terakhir aku itu. yay!